|
LEBIH BAIK KALAH BERMARUAH DARI MENANG PONDAN!! “ Kita kalah bermaruah!!” kata-kata seorang calon umum wanita yang tidak dapat menduduki 7 calon umum tertinggi spontan keluar dari bibirnya ketika diminta memberikan respon pengumuman pilihanraya khamis malam jumaat yang lepas. Ntah kenapa, kata-kata tersebut masih terngiang-ngiang di telinga saya apatah lagi saya mendengar jelas disebutnya 3 kali ayat tersebut walaupun dengan pertanyaan yang berlainan. Ntah mengapa juga semangat dan perasaan untuk menulis artikel ini membuak-buak walaupun tidak pernah menghantar sebarang artikel sebelum ini. “ Cita-cita saya untuk menulis walau satu ayat tak tercapai lagi ” kata saya kepada seorang kawan lama yang pernah menjawat jawatan Exco Kebudayaan MPMUM sesi 2003/2004 yang saya jumpa semasa hari pengumuman keputusan pilihanraya yang lalu. Rakan berbincang hal ehwal sastera dalam negara yang banyak memberi inspirasi untuk saya untuk terus menulis dan berkarya. Mungkin kerana diri termuhasabah dek kata-kata sendiri, saya mulakan langkah. “ Gagasan, boleh blah!!! Sorakan dan jeritan gembira dari kumpulan yang menamakan diri mereka Aspirasi apabila secara rasminya kebanyakan calon ‘mereka’ diisytiharkan menang, sedikit pun tidak mencuit naluri dan perasaan saya. Mungkin kerana diri sudah bersedia menerima kekalahan lantaran terlalu banyaknya ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku. Kadangkala rasa bangga pula, sebagai mahasiswa semester akhir, dapat juga melihat adik-adik tahun 1 dan 2 kebanyakannya bersemangat dan berani mempertahankan keadilan dan domokrasi mahasiswa. Diri tidak terkilan kerana ada yang bakal menyambung perjuangan. Sorakan bersemangat Student Power!!, nyanyian lagu Gagasan, lagu rasmi Universiti Malaya dan Negaraku di malam pengumuman keputusan pilihanraya jelas menampakkan kesungguhan mereka mempertahankan maruah mahasiswa yang bebas. Mereka dikejar sehingga jatuh ke dalam longkang, ada yang di’tampar’ bahunya, ada pula yang digertak, diugut lantaran menunaikan tanggungjawab mewarnai pilihanraya kampus dengan menyebarluaskan risalah ‘We Love UM’, menerangkan sejarah pilihanraya dan menyebarluaskan keadaan ahli kolej diugut oleh pihak berkuasa kolej dan HEP, hanya sekadar itu. Memang pada pandangan akal yang waras tentu sekali menolak perbuatan tidak berperikemanusiaan. Ntah undang-undang mana yang dipakai oleh mereka pun saya tidak tahu, hatta di peringkat antarabangsa pun mengiktiraf hari Hak Asasi Sedunia. Kalau nak dikata mereka menyebarkan fitnah, tidak juga, banyak sangat risalah dan sticker melambangkan sayang UM, kalau itulah yang ditakutkan oleh mereka, otak yang rasional ini pun tak dapat nak menerima tindakan biadap dan tidak berdiplin mereka. Yang pelik lagi ajaib, pilihanraya kali ini menampakkan ketidakmatangan dan kecelaruan yang sangat melampau. Cuba kita bayangkan, Timbalan Naib Canselor sendiri ke kolej 12 dengan selambanya membiarkan malah memberi pengumuman membenarkan sesetengah ahli kolej menyebarkan handbill yang terang-terangan berkempen calon-calon tajaan HEP walaupun telah jelas dalam buku peraturan pilihanraya dalam bab Hari Pengundian melarang berkempen dan menyebarkan sebarang risalah yang berkaitan untuk berkempen. Timbalan Naib Canselor, orang nombor dua dalam universiti sendiri melanggar undang-undang yang dicipta sendiri, apa lagi yang nak diharapkan dalam demokrasi dalam kampus??!! Kalau nak kata itu sahaja pelanggaran undang-undang melampau rasanya tidak cukup, nak disenaraikan tak cukup rasanya. Cuba bayangkan lagi, semasa perjumpaan bersama calon dan wakil calon selepas hari penamaan calon, dengan selambanya En Ambi selaku ketua suruhanjaya pilihanraya menyatakan bahawa disebabkan terlalu banyak calon umum yang bertanding, maka tidak dapat diadakan hari pengenalan calon. Bukan itu sahaja, semua banner dan poster perlu dibuat oleh calon yang bertanding. Pelik lagi, adakah ketua suruhanjaya pilihanraya tidak baca buku peraturan pilihanraya yang menyatakan secara jelas semua banner dan poster akan dibuat oleh pihak universiti dan malam pengenalan calon perlu diadakan? Adakah mereka boleh sewenang-wenangnya mengubah apa yang mereka rangka undang-undang hanya untuk memastikan calon tajaan mereka menang? Nampak sangat!! Mereka tak boleh menipu mahasiswa yang cerdik pandai… Saya dapat rasakan, walau sebanyak mana pun mahasiswa menulis, membentangkan fakta, mengeluarkan sebanyak mana pun memorandum kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan SUHAKAM, mengadu tentang kezaliman dan ketidakadilan serta pencabulan demokrasi kampus, selagi pihak yang berkuasa tidak mendapat hidayah untuk sedar dan tetap juga mahu mempertahankan undang-undang dan tindakan yang jelas tidak demokrasi dan menzalimi mahasiswa, selagi itulah kezaliman dan ketidakadilan akan berterusan. Tetapi hati ini juga percaya dan yakin, cahaya kebenaran pasti tidak akan dibiarkan padam, kerana Allah lebih berkuasa dan ada pula hamba-hamba-Nya yang sentiasa yakin dengan sunnah yang perlu dihadapi oleh pejuang kebenaran dan sentiasa mahu memperjuangkan kebenaran. Hakikatnya, saya akan terus berasa bertuah bergelar mahasiswa yang diberi peluang oleh Allah untuk memahami hakikat kebenaran, mendapat pengalaman yang bukan sedikit dalam menyelusuri medan menuntut ilmu sebagai mahasiswa Universiti Malaya. Kepada pejuang kebenaran aspirasi mahasiswa yang sentiasa mencintai demokrasi kampus, yakinlah, kita kalah bermaruah, dan lebih baik kalah bermaruah dari menang pondan!! MAHASISWI SEMESTER AKHIR UNIVERSITI MALAYA |
| Leave a Comment: |