Monday, September 26, 2005
Adat Walimah Urus yang HARAM

Adat walimatul urus yang HARAM...

Pengamalan adat nikah gantung adalah orang yang bertanggungjawab mengharamkan yang halal. Mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam bila mana ijabkabul dilafaskan dan disahkan, maka jadilah lelaki dan perempuan itu sebagai suami isteri yang sah, maka halallah bagi mereka apa yang diharamkan sebelum ini seperti persetubuhan dan sebagainya dan masing-masing mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan seperti nafkah dan sebagainya termasuk nafkah batin. Ketahuilah bahawa mengharamkan yang halal sama dengan syirik.

Dalam soal upacara bersanding, telah sepakat ulama mutaakhirin bahawa hukum bersanding itu adalah “HARAM”. Walau bagaimanapun para ulama berbeza-beza di dalam mengutarakan sebab atau mengapa bersanding itu haram.

Ada ulama mengatakan sebab bersanding itu haram kerana pekerjaan tersebut adalah merupakan satu pekerjaan bidaah (satu perkara yang diada-adakan) iaitu pekerjaan yang tidak pernah dilakukan di zamanRasulullah saw mahupun di zaman para sahabat. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan kerjakanlah segala apa yang didatang Rasul, serta hentikanlah segala apa yang dilarangnya.”

Dalam pada itu, ada juga pendapat ulama mengatakan bahawa bersanding itu haram disebabkan terdapat beberapa perbuatan yang melanggar batas-batas syarak seperti pakaian yang mendedahkan aurat, percampuranantara lelaki dan wanita yang bukan muhram,pembaziran, memakai bau-bauan dan sebagainya.

Perbelanjaan untuk membuat pelamin sekurang-kurangnya ratusan ringgit, bahkan adakalanya sehingga ribuan ringgit dihabiskan. Ini merupakan pekerjaan yang membazir. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.”

Pendedahan aurat berlaku berleluasa di majlis tersebut, terutamanya pengantin perempuan. Rasulullah saw bersabda:

“Ada empat golongan perempuan di dalam neraka;Perempuan yang tidak menutup dirinya (auratnya)daripada lelaki bukan muhram dan keluar daripada rumahnya dengan melawa-lawa;…… perempuan yang bersifatdengan sifat-sifat demikian ini adalah dilaknat,menjadi ahli neraka kecuali mereka bertaubat.”

Sebuah hadis Rasulullah saw lagi:

“Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar lantas melintasi suatu kaum lelaki (bukan muhram) agar mereka tercium bau harumnya, maka ia adalah penzina, dan tiap-tiap mata yang memandang itu zina.”

Manakala ulama lain pula berpendapat bersanding merupakan satu yang jelas haram kerana ia adalah warisan, ikutan dari amalan masyarakat Hindu dari zaman berzaman. Sedangkan kita umat Islam adalahdilarang untuk mengikut amalan orang kafir. Islam menyuruh umatnya menjadi satu umat yang berbeza dari lain-lain umat samada dalam adatnya, dalam iktiqadnya,dalam pakaiannya dan lain-lain. 

Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiap menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka.”

Rasulullah saw. bersabda:

“Bukan dari golongan kita umat Islam barangsiapa menyerupai kaum yang lain daripada kita.”
 


Posted at 10:58 pm by amalwildan
Make a comment  

Cara duduk Rasulullah S.A.W

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Ali Imran 3:31]

Ada beberapa hadis dalam bab ini, antaranya:

[1] Duduk bersila:

Jabir bin Samurah radiallahu-anhu berkata:

Adalah Nabi sallallahu alaihi wassalam setelah bersembahyang Fajar (Subuh), baginda duduk bersila di tempatnya sehinggalah terbitnya matahari yang indah (keputihan sinarnya).

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan lain-lain, dinukil dan dinilai sahih oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin (tahqiq & takhrij Shaikh Syuaib al-Arnuth; Maktabah al-Mamun, Jeddah 1996)  no: 821.

[2] Duduk di atas sebelah kaki manakala sebelah lagi diangkat dan dipaut dengan tangan.

Abdullah ibnu Umar radiallahu anhuma berkata:

Saya melihat Rasulullah sallallahu alaihi wassalam di halaman Kabah, beliau duduk dengan menegakkan kedua lututnya, (iaitu) dengan melingkar kedua tangannya ke sekeliling lututnya, dan ini cara duduk al-Qurfusaa.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan dinukil oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin  no: 822.

Duduk al-Qurfusaa adalah duduk mencangkung di atas sebelah lutut manakala lutut yang lain dilipat dan diangkat ke atas dan dipautnya dengan tangan sehingga bahagian peha mendekati badan atau perutnya. [Lihat Al-Alamah Muhammad bin Allan: Daliil al-Falihin li Thariq Riyadus Salihin (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), 3/272].

[3] Duduk bertinggung.

Anas bin Malik radiallahu anhu berkata:

Aku melihat Rasulullah sallallahu alaihi wassalam duduk bertinggung sambil makan kurma.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim  no: 2044.

Duduk bertinggung ialah duduk di atas kedua tapak kaki dengan kedua-dua kaki berlipat dan punggung tidak menjejak tanah.

[4] Jangan duduk bersandar dengan sebelah tangan.

Syirrid bin Suwaid radiallahu anhu berkata:

Rasulullah melintas di hadapan aku sedang aku duduk seperti ini, iaitu saya bersandar kepada tangan kiri saya yang saya letakkan di belakang. Lalu baginda bersabda: Adakah engkau duduk sebagaimana duduknya orang-orang yang dimurkai ?

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, dinukil dan dinilai sahih oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin  no: 824.

[5] Jangan duduk bersandar.

Abu Juhaifah radiallahu anhu berkata, Rasulullah sallallahu alaihi wassalam bersabda:

Jangan makan sambil bersandar.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan dinukil oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin  no: 746.

Yang dimaksudkan bersandar adalah seperti orang yang duduk miring ke lambungnya yang sebelah, sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang angkuh dan sombong. Cara duduk seperti ini ditegah oleh Rasulullah. Selain itu cara duduk sedemikian mengganggu kelancaran perjalanan makanan dalam badan, dari mulut ke perut. [Lihat Al-Alamah Ibnu Allan: op. cit., 3/209].

Demikian beberapa petunjuk sunnah Nabawiyah dalam cara duduk. Selain itu dibolehkan duduk sepertimana kita duduk dalam solat, iaitu duduk di antara dua sujud dan duduk Tasyahud akhir.



Posted at 08:45 am by amalwildan
Make a comment  




Sunday, September 25, 2005
Subhanallah...

Bilangan tentang perkara yang disebutkan di dalam Al-Quran:

DUNIA - 115 kali
AKHIRAT - 115 kali

MALAIKAT - 88 kali
SYAITAN - 88 kali

HIDUP - 145 kali
MATI - 145 kali

FAEDAH - 50 kali
KERUGIAN - 50 kali

UMMAH - 50 kali
PENYAMPAI - 50 kali

IBLIS : PENGHULU SYAITAN - 11 kali
MOHON PERLINDUNGAN DARIPADA IBLIS - 11 kali

BALA/MUSIBAH - 75 kali
BERSYUKUR - 75 kali

BERSEDEKAH - 73 kali
BERPUAS HATI - 73 kali

ORANG YANG SESAT - 17 kali
ORANG YANG MENINGGAL DUNIA - 17 kali

MUSLIMIN - 41 kali
JIHAD - 41 kali

EMAS - 8 kali
KEMURAHAN HIDUP - 8 kali

KEAJAIBAN - 60 kali
FITNAH - 60 kali

ZAKAT - 32 kali
BERKAT - 32 kali

MINDA - 49 kali
NUR - 49 kali

LIDAH - 25 kali
SUMPAH - 25 kali

NAFSU - 8 kali
KETAKUTAN - 8 kali

BERCAKAP DI KHALAYAK RAMAI - 18 kali
BERDAKWAH - 18 kali

KESUSAHAN - 114 kali
KESABARAN - 114 kali

MUHAMMAD - 4 kali
SYARIAT - 4 kali

LELAKI - 24 kali
PEREMPUAN - 24 kali

SOLAT (SEMBAHYANG) - 5 kali

BULAN - 12 kali
HARI - 365 kali

LAUTAN - 32 kali
DARATAN - 13 kali

LAUT dan DARAT = 32 + 13 = 45

Justeru itu, peratusan laut = 32/45 x 100 = 71.11111111 peratus
Peratusan daratan = 13/45 x 100 = 28.88888889 peratus
JUMLAH = 100 peratus

Kajian sains oleh manusia telah membuktikan bahawa air meliputi 71.111 peratus daripada bumi dan tanah meliputi 28.889 peratus.

Begitulah kebesaran dan keagungan ciptaan Allah SWT!!


Posted at 09:00 pm by amalwildan
Make a comment  




Thursday, September 15, 2005
warkah untuk hawa..

Warkah untuk HAWA..

Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa,
Andai engkau belum berkahwin jangan kau risau jodohmu, ingatlah Hawa janji Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana saya khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam dan sekaligus disusuli dengan pertemuan takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa…
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannnya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuannya, kemanjaannya, serta kemampuannya mengoncang iman lelaki. Tetapi lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan yang penting pegangan agamanya.

Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangat kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik- beradik serta keluarga yang membahagiakan dirimu.

Hawa…..
Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga.

Janganlah sesekali tangan yang mengoncang dunia juga yang mengoncang iman lelaki.


Posted at 11:38 am by amalwildan
Comment (1)  

La Tahzan..

La Tahzan....

Jangan berdukacita..
sebab rasa sedih akan terus mengganggu mu dengan kenangan masa lalu..
akan membuat mu khuatir dengan kemungkinan masa akan datang...
dan akan mensia-siakan peluang mu pada hari ini....
kamu hanya mempunyai hidup yang pasti hari ini...
hari yang ketika ini mataharinya menyinari mu...
dan malam nya menyapa mu
...

bukan hari semalam yang telah berlalu dengan sgl kebaikan dan keburukan
nya..
juga bukan hari esok yang belum pasti lagi...
inilah hari kepunyaan kamu...
maka berusahalah sepenuh hati pada hari ini...
lakukan solat yang paling khusyuk pd hari ini..
berzikir sepenuh hati...baca al-quran dengan paling tartil..
keindahan dalam akhlak..
mengambil berat kesihatan jiwa dan raga mu..dan
bersiap2lah untuk satu perjalanan jauh menuju akhirat..serta
nikmatilah hari ini dengan sgl keriangan dan kebahagiaan nya..

krn kamu hanya mempunyai hidup yang pasti HARI INI


Posted at 11:30 am by amalwildan
Comments (2)  




Monday, September 12, 2005
Ciri-ciri PENDAKWAH RABBANI

Menjadi seorang pendakwah adalah merupakan satu kewajipan kepada setiap individu. Kewajipan tidak hanya terhad kepada orang-orang tertentu bahkan ia meliputi seluruh tenaga ang terdapat di dalam masyarakat Islam. Apa yang membezakannya ialah peranan mengikut bidang kemahiran masing-masing. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran,110 )

Namun perlulah diingatkan pendakwah rabbani tidak akan lahir secara automatik dan sendirinya dalam gerakan Islam. Ia perlulah dibentuk dan melalui pelbagai marhalah. Namun pembentukan ini bukanlah satu proses yang mutlak. Ada yang dipilih untuk dibentuk namun gagal lahir sebagai jundi dakwah dan ada yang tidak dibentuk, namun ternyata keikhlasan bekerja untuk Islam ternyata melebihi orang lain.

Ciri-ciri Pendakwah Rabbani

1. Mempunyai Ilmu Yang Mantap

Ilmu yang mantap adalah merupakan bekalan ang perlu ada kepada setiap tenaga dakwah. Berapa banyak keaiban yang diterima oleh Islam hanya kerana pendakwah-pendakwah yang bergerak di atas namannya ternyata tidak mempunyai kemantapan ilmu lalu mendatangkan krisis keyakinan kepada masyarakat. Pepatah Arab ada menyebut : “Orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan dapat memberikan apa-apa”.

2. Mengutamakan kepentingan Islam.

Sabda Rasulullah SAW: mafhumnya;

“Berkisarlah untuk kepentingan Islam di mana kepentingannya berkisar.”

Baginda mengingatkan lagi dengan sabda yang bermaksud;

“Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”

Rasulullah SAW menjelaskan secara langsung dengan sabda yang bermaksud;

“Engkau memegang pos-pos penting daripada pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat lolos daripada penjagaanmu.”

3. Menyertai Jemaah

Apabila kita mengaku Muslim, kita harus bekerja untuk Islam. Kita patut bekerja secara berjama’ah, bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru kepada Allah SWT, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran. Kita harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang melaksanakan Islam dalam pemerintahan. Firman Allah SWT: maksudnya;

“Kami akan perkuatkan tenagamu dengan saudaramu.” (Al-Qashash:35 )

Firman Allah SWT lagi: bermaksud;

“Bertolong-menolonglah kamu dalam urusan kebaikan dan jangan kamu bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah:2 )

Sabda Rasulullah SAW: maksudnya;

“Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.”

(Shahih Bukhari, Kitab Fitnah)

4. Tabah dan Sabar Dalam Menghadapi Ujian

Ketabahan dan istiqomah inilah yang merupakan kunci terakhir untuk mendapat kejayaan di sisi Allah SWT. Betapa ramai orang ang ingin lahir sebagai pendakwah namun akhirnya kelayuan sebelum sempat untuk berkembang. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Surah Ali-Imran,142 )



Posted at 09:50 pm by amalwildan
Make a comment  

Cinta Menurut Pandangan Islam

“..Ya Allah Engkau Tuhanku.. Tiada tuhan melainkan Engkau.. Engkau cinta agungku.. Nabi Muhammad pesuruhMu..”

Muqaddimah

Bait-bait nasyid kumpulan Qathrunnada di atas sering mengingatkan kita kepada hakikat cinta yang sebenar. Bagi saya sendiri, makna serta irama yang dibawa oleh Qathrunnada ini benar-benar menyentuh jiwa apatah lagi di tengah-tengah kerancakan irama nasyid ala-KRU yang mewarnai dunia nasyid pada masa sekarang.

Berbicara mengenai cinta, tentunya tidak akan lepas dari perbincangan kita cinta monyet yang menghiasai dunia muda-mudi sekarang ini. Malah, tidak keterlaluan untuk dinyatakan, itulah pespektif masyarakat terhadap cinta. Sedangkan cinta sebeginilah yang sering mendorong pelakunya ke arah melakukan maksiat kepada Allah SWT. Sekotor itukah cinta?

Apakah cinta sebenarnya? Cinta sebenarnya menepati satu angka perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan membantutkan tumbesar manusia.

Kesenian cinta yang didasari runtutan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsai keghairahan nafsu dan kebejatan iblis laknatullah. Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah.

Permasalahan cinta antara yang dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spritual-membunuh solidariti dan menodai sosial.

Individu mukmin sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa. Cinta yang berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu yang penuh jijik dan dihina.

Menyedari hakikat ini, saya mencuba untuk menggagahkan diri bercerita soal cinta secara ringkas menurut pandangan Islam. Apatah lagi dalam suasana masyarakat remaja khususnya tertipu dengan propaganda 14 Februari yang kononnya ialah hari Kekasih. Maka sibuklah dunia berbicara soal cinta yang lebih menjurus kepada cinta karut-marut yang bertemakan mainan perasaan yang sama sekali terseleweng dari kehendak Islam.

Semoga Allah memberikan ganjaran terhadap usaha yang kecil ini dalam membersihkan jiwa pemuda-pemuda dari sebarang permainan perasaan yang hanya akan menyesatkan fikiran.

Apakah Kedudukan Cinta Di Dalam Islam?

Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri :

1. Cinta kepada Allah

Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehiudupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah.

Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap. Firman Allah SWT :

“..(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah ayat : 165)

Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT. Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...” (Surah Al-Maidah, ayat 54)

2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan para anbiya’

Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam,maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa begelumang dengan lumpur yang begitu tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas yang begitu mulia.

Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’. Kerana kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah SAW. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut :

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.

(Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie : no. 4901)

Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk kita memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh dbuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya. Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah SAW.

3. Cinta Sesama Mukmin

Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya. Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta kepada keduana adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:

“Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu..”

(Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no. 126)

Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar menghormati dan menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang lebih menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar umatnya dengan pesanan :

“..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

(Surah Israk, ayat 24)

Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin yang berimana sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa dalamnya maksud firman Allah SWT :

“..Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...

(Surah Al-Fath, ayat 29)

Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang ternyata menyintai golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari golongn Muhajirin. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. ..”

(Surah Al-Hasyr, ayat 9)

Bukankah ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah kecaman keganasan yang dilemparkan kepada Islam pada hari ini, kenapa tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam? Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.

Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya

Cinta Dunia Remaja : Tragedi Yang Menyayat Hati

Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari daripada mainan perasaan. Asal saja ia bernama manusia, maka sekaligus dirinya akan dicuba dengan mainan nafsu yang bagaikan lautan ganas yang begitu kuat bergelombang. Salah satu darinya ialah mainan cinta.

Tidak sedikit orang yang rebah kerana cubaan ini. Dalam berbicara persoalan peringkat pembinaan ‘cinta lutong’, As-Syauqi pernah bermadah :

Benar kata Syauqi, cinta lutong ini bermula dengan mainan mata yang tidak mempunyai sempadannya, ia kemudiannya diikuti dengan sahutan suara dan saling berhubung. Sampai peringkat tersebut, amat sukar sekali bagi pasangan cinta untuk tidak bertemu dan berdating sekaligus mendedahkan diri kepada aksi yang lebih hebat. Oleh kerana itulah, Islam dalam menjaga kesucian cinta dari dicemari oleh unsur-unsur nafsu meletakkan batasan pandangan seorang muslim dan muslimah. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan...”
(Surah An-Nuur, ayat 30)

Betapa bahayanya cinta lutong ini boleh dilihat apabila pasangan yang dhanyutkan olehnya tidak akan berupaya untuk berfikir secara waras lagi. Setiap detik dan masa yang berlalu tidak akan sunyi dari memikirkan persoalan cinta mereka. Setiap saat, jiwa sudah tidak mampu lagi untuk tenteram sekiranya tidak didodoikan dengan suara halus dan lunak yang berbicara dengan kata-kata yang hanya layak diperdengarkan di dalam kelambu. Sudah berkubur cita-cita perjuangan dan sudah lebur harapan masyarakat yang dipikulkan di atas bahu, yang ada hanyalah kehendak memuaskan hati pasangan masing-masing. Lantas, di saat demikian, layakkah orang yang hanyut ini diharapkan memikul tanggungjawab melaksanakan tugas penting membimbing masyarakat?

Apakah penyelesaian terhadap permasalahan ini? Jalan yang paling baik ialah perkahwinan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“..Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu..”
(Bukhari : no. 1772, Muslim : no. 2485)

Selain daripada perkahwinan yang tentunya merupakan perkara yang hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam dunia seorang penuntut ilmu, maka Rasulullah SAW mencadangkan puasa sebagai jalan terbaik melepaskan diri dari kekangan nafsu yang meronta-ronta. Selain daripada itu, Islam sama-sekali tidak membuka pintu yang lain. Selain daripada perkahwinan, tidak dapat tidak, hanyalah kawalan terhadap jiwa mampu menyelamatkan diri sendiri dari turut terjun dalam arus ganas cinta lutong.

Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan adalah cinta palsu yang walaupun dihiasi dengan rayuan-rayuan halus namun ia adalah panggilan-panggilan ke lembah kebinasaan! Dan sekalipun kekosongan jiwa daripada cinta lutong secara zahirnya adalah penderitaan dan kesunyian yang begitu hebat, namun itulah hakikat cinta sejati kepada Allah. Andainya hati dihiasi dengan rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke arah melayan perasaan, maka hilanglah di sana cita-cita agung untuk menabur bakti kepada Islam sebagai medan jihad dan perjuangan.

Percayalah, masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlalu dalam hidup. Ia tidak akan berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya. Meniti usia remaja dengan berhati-hati dan mengenepikan mainan perasaan adalah merupakan perkara yang amat sukar sekali. Apatah lagi, semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam dan membara. Namun, itulah mujahadah melawan perasaan. Sekadar perasaan dan diri sendiri menjadi musuh, alangkah malunya untuk kita tewas terlalu awal. Usia emas yang diberikan ini alangkah baiknya andainya digunakan sebaik mungkin menggali sebanyak mana anugerah di bumi ilmu.

Namun, kita manusia boleh tertewas bila-bila masa sahaja. Tidak kira siapapun kita. Sekalipun kita arif malah benar-benar mengetahui bahawa yang hadir hanyalah sekadar tipuan, namun kita bisa rebah dalam ketewasan yang kita sendiri sebenarnya merelakannya.

Oleh yang demikian, apakah yang akan menyelamatkan selain keimanan, ketakwaan dan kecekalan?




Posted at 07:14 pm by amalwildan
Make a comment  

Cinta Seorang Pemuda

©    Saya suka sangat tengok jari-jemari teman wanita saya, cantik betul. Sungguh!! Sampai saya takut nak pegang. Bukan takut jari-jemarinya patah,tapi takut nanti jari-jemarinya jari-jemari kami tidak boleh saling Bantu-membantu di suatu hari yang amat dasyat di hadapan Yang Maha Esa!

©    Saya suka sangat tengok rambutnya. Cantik betul…Sungguh! Sebab itu saya belikan dia tudung. Bukan sebab cemburu orang lain tengok, bukan! Tapi sebab saya mahu rambutnya sentiasa ditutup macam dalam iklan dot dot dot itu sampai bila-bila… takut nanti dibakar dek api neraka, disuatu hari yang amat dasyat dihadapan…. Yang Maha Pencipta.

©    Saya suka sangat tengok body teman wanita saya…solid betul. Sungguh !! sebab itu saya belikan dia telekung supaya masa 'dating' dengan Kekasih dia Yang Utama, dia jaaaaauh lebih cantik dan berseri menghadap-Nya. Saya pun tumpang dapat pahala… syoknya!

©    Saya sedih sangat tengok teman wanita saya tidak tidur,tidak makan sebab rindukan saya. Saya pun macam dia juga. Sidia Tanya, 'apa ubaaatnya bang? Saya pun bagi dia Al-Quran sabagai penenang jiwa…semoga dia cintakan-Nya lebih daripada saya.

©    Saya sedih tengok dia selalu pesan macam-macam ; " makan, minum, jaga diri, pandu kereta elok-elok…nanti awak sakit saaya juga yang susah hati… bla..bla bla" Tapi bila tengok wayang sama-sama, terlepas Asar dan Magrib begitu saja, dia tak kata satu apa pun. Aduh…….. berdosanya saya!

©    Saya memang sayang sangat pada dia. Saya mahu jumpa dia, bersama dia, cinta secinta-cintanya. Cinta yang abadi di dunia dan berkasih sayang di akhirat, ber'dating' di syurga kerana di situlah tempat yang kekal selama-lamanya.

©    Doakan kami saling mengingati ,insaf menginsafi. Ya ALLAH, Ampunkanlah kami, semoga kami dapat kekal bersama selama-lamanya, di Syurga nanti….AMIN



Posted at 07:06 pm by amalwildan
Comment (1)  

Buat Tatapan Pejuang Islam

LELAKI ACUAN AL-QURAN

LELAKI ACUAN AL-QURAN
SEORANG LELAKI YANG BERIMAN
MEMILIH MUSLIM MUTTAQEEN SEBAGAI JATI DIRI
HATINYA DISALUTI RASA TAQWA KEPADA ALLAH SWT
APABILA DISEBUT ASMA' ALLLAH..
GEMENTAR HATINYA, BERDEBAR JANTUNGNYA
 
LELAKI ACUAN AL-QURAN
SENTIASA HAUS DENGAN ILMU
SOLATNYA ADALAH MARUAH DIRINYA
TIDAK PERNAH GENTAR UNTUK BERKATA BENAR
TIDAK PERNAH LESU UNTUK MELAWAN NAFSU
 
LELAKI ACUAN AL-QURAN
TUTUR KATANYA AMAT DIJAGA
TIDAK PERNAH BERMEGAH DENGAN ILMUNYA
TIDAK PERNAH BERMEGAH DENGAN HARTA DUNIA YANG MENIPU
SENTIASA BERBUAT KEBAIKAN KERANA SIFAT PELINDUNGNYA
MEMPUNYAI RAMAI KAWAN
NAMUN TIDAK MEMPUNYAI MUSUH
 
LELAKI ACUAN AL-QURAN
LELAKI YANG MENGHORMATI IBU BAPANYA
BAKTI DIHULURKAN BUAT AYAHBONDA DAN KELUARGA
DIA BAKAL MENJAGA KEHARMONIAN RUMAHTANGGANYA
KELAK MEMBERIKAN BIMBINGAN DUNIA DAN AKHIRAT
BUAT ZAUJAH JUA PERMATA HATINYA
WASATIAH AMALAN HIDUPNYA
PENDORONG MENUJU BAITI JANNATI
KERANA DUNIA BAGINYA HANYALAH
LADANG MENUJU AKHIRAT
JUA RUMAH SEMENTARA SAHAJA
MENUNGGU YANG NYATA DI AKHIRAT SANA
 
LELAKI ACUAN AL-QURAN
SENTIASA BERSEDIA UNTUK AD-DEENNYA
HIDUPNYA DISINARI CAHAYA NAUNGAN AL-QURANUL KARIM
SIFAT RASULULLAH KETAATAN DIRINYA
BICARANYA ADALAH AMALANNYA
GERAK LAKUNYA ADALAH ILMUNYA
 
LELAKI ACUAN AL-QURAN
PABILA MENGHADAP WAJAHNYA KEPADA YANG MENCIPTA
BERDIRINYA PENUH TERTIB
RUKUKNYA PENUH TAWADHU'
SUJUDNYA PENUH KUSYUK
DUDUKNYA PENUH TASYAHHUD
DOANYA PENUH MALU
"YA ALLAH, ANDAINYA KEJAHATAN TAK KU LAKUKAN KERANA TAKUT AKAN NERAKA-MU,
MAKA KAU CAMPAKKANLAH AKU KEDALAMNYA,ANDAINYA AKU MENGHARAPKAN SYURGA-MU
KERANA PAHALA YG KAU JANJIKAN,MAKA KAU HARAMKANLAH KAKIKU MENJEJAK SYURGA
DAMBAANKU ITU,TETAPI JIKA HIDUPKU MATIKU KERANA MENGHARAPKAN REDHA-MU YA RABB,
MAKA JANGANLAH KAU MALAPKAN HATI INI KERANA HATI INI TELAH BERLABUH UNTUK
SENTIASA TAAT DAN DEKAT DENGANMU,WAHAI RABBUL 'IZZATI.."
 
LELAKI ACUAN AL-QURAN
BASAH MATANYA KERNA RINDU-NYA PADA YANG KHALIQ
BASAH LIDAHNYA KERANA SELALU MENYEBUT ASMA' TUHANNYA
GEMAR TELINGANYA MENDENGAR ALUNAN ZIKIR MUNAJAT
TANGKAS LANGKAH KAKINYA BERJEMAAH DI RUMAH ALLAH
 
LELAKI ACUAN AL-QURAN
KELUAR DIJALAN ALLAH SETINGGI CITA-CITANYA 
TEGAKNYA MEMASAKKAN KALIMAH ALLAH DI PELUSUK DUNIA
KEWAJIPAN SEORANG DA'E BAGAI DIRINYA
HATINYA BAGAIKAN TAHU
BAHAWA MASIH RAMAI YANG CUKUP DAHAGAKAN
SUATU GEMERLAPAN CAHAYA ISLAM YG MAHA INDAH
MEDAN PERJUANGAN SYAHID IMPIANNYA
HAYYA 'ALAL JIHAAD!!
MENYERU PARA MUJAHIDDEEN
DIALAH KUBU PERTAHANAN ISLAM
TEGAS DENGAN KAFIR LAKNATULLAH
TAKKAN MUDAH ISLAM TUNDUK PADA KUASA KUFFAR
 
DIALAH LELAKI ACUAN AL-QURAN
DIA LAYAK BUAT
WANITA ACUAN AL-QURAN JUA..
KERANA
ANDAI DIRI MENGHARAP TEMAN SEZUHUD ALI KARRAMALLAHU WAJHAH
HIASILAH DIRI UMPAMA PEMURAHNYA FATIMAH AZ-ZAHRA
USAH DIDAMBA TEMAN SESABAR NABI ALLAH IBRAHIM AS
ANDAI DIRI TIDAK SETABAH SITI HAJAR
MENGAPA MENGHARAP TEMAN SEHEBAT KEKASIH ALLAH,MUHAMMAD SAW
ANDAI DIRI TIDAK SESETIA KHADIJAH AL-KHUWAILID.

by Limau Kasturi

Posted at 03:19 pm by amalwildan
Make a comment  

Jerebu Kasih

Rindu itu adalah…
Anugerah dari Allah..
Insan yang berhati nurani..
Punyai rasa rindu…

Ahhh…!!
Benarkah sakitnya rindu? Walaupun dengan hanya lima huruf… keperitannya dapat dirasai ke pelusuk hati nularinya…Aishah tak tahu kenapa dia begitu lemah sehinggakan mengharapkan pada sesuatu yang belum pasti menjadi miliknya…

Rindunya ikhlas dan suci..
Ahhhh…Aishah malu mengakui perasaannya itu..
Akhirnya Aishah menangis sendirian mengisi ruang-ruang biliknya di Blok A 2.2 Mahallah Sumaiyyah...


Walau bagaimanapun, Aishah cuba menggagahi diri untuk bangun dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Selesai saja mandi dan berwudu',dia terus mengapai al-Qur'an pemberian arwah neneknya di atas meja comelnya, dijaganya dengan begitu rapi dan selalu dia membacanya sementara menunggu azan magrib bergema dari masjid uia..

Allahuakbar... Allaaaaaaahuakbar...
Allaaaaaahuakbar... Allaaaaaaaaaaahuakbar...

Aishah terus menutup kembali al-Qur'an kecil itu..diletaknya kembali di atas mejanya..
Dibetul2kan kain telekungnya, lalu dia pun mengangkat takbir dan meneruskan solat Magrib... Rindu hatinya yang tak mampu ditahannya itu, kini sudah terubat dengan mengharapkan "Cinta Hakiki" dari Ilahi.

Tok... tok... tok... terdengar ketukan itu datang dari pintu biliknya..

"Aishah ... enti dah solat ker?" terdengar suara Rafidah dari luar.
"Iyer... ana dah solat... ada apa,Fidah?" Aishah menjawab dan terus membuka pintu biliknya itu.
"Kalau dah solat tu... elok kalau kita makan sekali kat kantin yer.." aju Rafidah dengan nada mengajak.
"Ok jer..."

Selesai makan malam, aishah terus ke biliknya.. maklumlah cuaca sekarang ni kurang memberangsangkan... jerebu semakin kuat nampaknya hari ini.. dadanya pun rasa sakit dan pedih.. pening pun diterimanya.. itulah.. banyak sangat benda-benda maksiat ni.. dengan nabi palsunya, dengan rasul untuk orang melayunya la.. lagi-lagi masalah hiburan.. tah.. macam-macam lagi.. apa tidaknya Tuhan mendatangkan jerebu yang sebegini... itu pun masih ramai yang tak sedar diri lagi... dunia.. dunia...


Aishah melangkah masuk ke biliknya.. terus saja dibuka loker almarinya.. kemudian tergerak pula hatinya untuk melihat telefon bimbit comelnya itu.. eh! ada mesej rupanya... satu 'sms' daripada pengirim yang amat-amat dikenalinya..

[ Assalamualaikum Nur, kaifa hal? Maaf lama tak kirim berita.. ana bz skit sekarang ni.. maklum la banyak kena prepare tuk "convo" ni ,ana minta maaf ya, Nur... tolong reply sms ni, plz ]

Aishah terkejut menerima sms daripada Rizal tu, sudah empat bulan Rizal tak menghantar apa-apa mesej kepadanya dan selama itu juga dia menjadi seorang perindu. Ahh..!! Aishah berperang dengan perasaannya, sama ada ingin membalasnya atau membiarkan saja.

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan lagi satu mesej baru...

[ plz Nur.. tolong reply.. maafkan ana.. memang salah ana.. plz reply! ]

Selang beberapa minit selepas itu Rizal menelefonnya, tapi sengaja dibiarkan telefon itu terus berdering...

"Hai! Awat yang enti tak angkat tepon tu?" marah Amirah, kawan sebiliknya kerana bunyi itu mengganggu waktu belajarnya. Hari Isnin ini dia ada kuiz.

"Biarkan jer.." ujar Aishah acuh tak acuh. Rasanya dah masuk lima kali ia berbunyi tapi Aishah tetap membiarkan ia berdering.

"Senang-senang enti 'off' jer tepon tu.." ujar Rafidah memberi cadangan.

"Penat nanti, dia berhentila..." tambah Aishah tanpa mempedulikan cadangan kawan karibnya itu.

"Ana nak tidur awal malam ni... so, jangan sapa2 buat kacau pulak yer" ujar Amirah sambil mata menjeling kepada Aishah sebaik saja mereka bertiga selesai menunaikan solat isya'. Aishah tersenyum. Perli la tu..

Masing-masing ke bilik untuk merehatkan badan.

Sewaktu berseorangan, Aishah kembali teringat kepada tuan pemberi sms tadi.. Mohd Rizal Hakimi... hanya semester 2 yang lepas dia mengenali pemuda itu.. walaupun masa yang singkat cinta mereka tetap bersemi setiap hari.. namun ramai yang tak tahu tentang hubungan mereka berdua.. mungkin sebab mereka jarang berhubung.. dalam tempoh 4 bulan kebelakangan inilah Aishah telah membuat pelbagai andaian. Ada yang positif dan ada yang negetif. Akhirnya dia tekad untuk terus menyepi dan berdiam diri..

Sehinggalah hari ini Rizal mula menghantar kembali 'sms'nya, mungkin disebabkan jerebu agaknya.. dia dah tak sibuk sangat dengan meetingnya itu... tapi wajarkah dia mendiamkan diri? Atau perlu bertindak balas? Aishah akhirnya terlelap bersama soalan-soalan itu..

* * * * * *

Khamis, 11 Ogos 2005

Awal pagi itu Aishah tersedar apabila terdengar deringan telefon bimbitnya dan bila di amati, ianya dari Rizal Hakimi. Kemudian dia menerima satu sms berbunyi :

[ Assalamualaikum Nur, selamat pagi.. Rahsia kecemerlangan tamadun silam : Pakar Islam membina kekuatan diri bermula dengan solat di awal subuh hari. Dimulai dengan solat sunat dan membaca al-Qur'an. Mari sambut cabaran ini tuk bina kekuatan diri..]

Errrmmmm.... dah pukul 5:00 pagi rupanya.. terima kasih Rizal, getus hati Aishah. Memang benar ia menjadi kekuatan kepada dirinya..Setiap hari dilaluinya dengan penuh semangat dan azam.

Biarlah.. biarlah Rizal terus menghantar sms.Aishah tetap tak membalasnya. Dia seakan-akan memprotes segala tindakan Rizal selama ini kerana membiarkan dia dilamun rindu sendirian. Sudah hampir seminggu Rizal menghantar sms kepadanya, sejak hari Ahad yang lalu... mengajak bertahajjud tapi Aishah tetap mendiamkan diri tanpa membalas apa-apa mesej kepada Rizal untuk melihat selama mana Rizal mampu bertahan.

* * * *

Jumaat, 12 Ogos 2005

Hari ini UIA diisytihar cuti kerana keadaan jerebu semakin teruk.. ramai yang demam dan batuk.Di bilik A2.2 Sumaiyyah terdengar perbualan dua orang sahabat karib yang sememangnya kelihatan berdua ke mana saja mereka pergi,ke kelas atau ke perpustakaan.. Aishah dan Rafidah.

"So, enti nak balik rumah la malam ni, Aishah?" tanya Rafidah kepada Aishah.
"Ermm.. macam tu la Fidah..." tegas Aishah bersungguh.
"Balik nak aturkan tarikh perkahwinan ker?" gurau Rafidah bersahaja.
"Eleh...Kau ni..ada-ada je la.. tapi kalau kawin pun apa salahnya kan?" jawab Aishah sambil mecebik bibir.

Akhirnya, mereka sama-sama ketawa.


* * * *

Perjalanan menaiki bas selama lima jam terasa singkat apabila teringatkan keadaan kampung halamannya. Rindu untuk bertemu mak dan ayahnya di kampung. Suasana kampung dapat dirasainya. Lebih aman jika tinggal di kampung dari terus tinggal di bandar yang penuh dengan pencemaran dan maksiat.

* * * * * *

7:30 pagi, Sabtu 13 Ogos 2005


Sesampainya Aishah di rumahnya, terlihat sebuah kereta pacuan empat roda di sebelah kereta ayahnya.

"Takkan ayah beli kereta baru kot?" getus hati kecilnya.

Belum sempat dia memberi salam, ibunya dah muncul membuka pintu.. rupa-rupanya ibunya dah dengar bunyi tapak kakinya memasuki pengkarangan rumahnya. Aishah terus bersalaman dengan ibu dan ayahnya.

"Kamu ni memang langkah kanan la Aishah..." kata emaknya.
"Kami baru selesai menghidang..." kata emaknya berjalan memeluknya sambil melangkah bersama-sama pergi ke ruang dapur rumahnya.
"Ya Allah.. Banyaknya lauk.... semuanya kegemaran Aishah...Nampaknya semakin sihatla Aishah selepas ni.." kata Aishah sambil tersengih-sengih memandang ibunya.

"Aishah.. kita ada tetamu hari ni.... mai ajak diorang makan sekali" laung ayahnya dari ruang tamu rumahnya.

Ermm.. patutla ada kereta tepi kereta ayah, getus hatinya..tapi kereta sapa pula???Rasa begitu berdebar-debar pula hatinya ketika itu.Aishah terus melangkah ke ruang tamu.

Aaa..Rizal!! Terkejut dia ketika itu.Aishah tak menyangka sama sekali Rizal yang datang.Dia bawa ayah dan mak dia sekali??? Hati Aishah terus berdebar kencang bak gong yang dipukul. Rizal tersenyum bila melihatnya.'Mimpi apa dia datang ke sini?? Tanya hati Aishah.

"Jemput makan pakcik, makcik...errr.. Rizal.." Aishah mempelawa makan walaupun rasa berat sekali mulutnya untuk mengungkapkan kata-kata itu.

"Aishah..lepas ni mak dan ayah ada perkara nak di bincangkan dengan kamu.." kata ayahnya.

* * * * *

Selesai makan, Rizal sama-sama menolong Aishah mengemas meja makan.Tiada sepatah pun kata-kata yang terkeluar dari mulut Aishah ketika itu. Tangannya sibuk membasuh pinggan dan Rizal pula mengelap meja makan. 'Tunjuk rajin konon' getus hati Aishah sendirian.

"Enti masih marah lagi pada ana, Nur?" terpancul pertanyaan Rizal secara tiba-tiba. Hampir terlepas saja pinggan ditangan Aishah kerana terkejut dengan teguran dari Rizal itu.

"Enta pi la kat depan bersembang dengan ayah ana.. ana ni pun dah nak siap dah membasuh.." Aishah menyuruh Rizal kerana kurang senang pula bila diperhatikan semasa dia membasuh. Gementar kot atau pun nak mengelak dari ditanya oleh Rizal lagi.

* * * * * *

"Kami semua dah pun berbincang...mak dan ayah dah setuju...tinggal keputusan dari kamu saja, Aishah.." kata emak sebaik saja Aishah mula duduk ditepinya.

"Eh? Setuju apa pula ni ayah,mak?" tanya Aishah.

"Hakimi ada cerita hubungan kamu berdua di kampus selama ni.. kami pun dah setuju nak buat kenduri kamu berdua lepas raya puasa ni.." terang ayah.

"Mak,ayah.. Aishah nak minta izin bercakap dengan Rizal sebentar.." minta Aishah sambil memandang wajah Rizal. Rizal tersenyum-senyum malu tapi Aishah tak mampu untuk membalasnya kerana banyak perkara yang sedang difikirnya ketika itu. Aishah terus mengajak Rizal keluar rumah.

"Apa yang enta dah buat ni,Rizal? Dah la kita baru saja berkawan, baru satu sem dan sem 3 pula enta menghilang diri, nak bertanya khabar ana pun tak.. ikut suka hati enta pula nak muncul bila-bila..tup..tup.. muncul terus datang meminang ana..enta ingat ana ni sapa? Tak der perasaan langsung.." serang Aishah bertubi-tubi.

"Aishah.. maafkan ana.. ana bukan sengaja menghilangkan diri.. ada banyak masalah masa ana di sem 3 lepas, ana kena prepare tuk convest yang nak mai dua tiga hari lagi ni..tolong la faham, Aishah.. jadi, inilah bukti kesungguhan ana terhadap hubungan kita, Aishah.. hati ana telah memaksa untuk berjumpa mak dan ayah enti, Aishah...harap enti faham.. perasaan ana tetap macam dulu.. percayalah. Ana ikhlas ingin memperisterikan enti.. terimalah lamaran ana ni.." jelas Rizal dengan panjang lebar dengan nada merayu.

Akhirnya, Aishah memandang wajah Rizal dan terus tersenyum. Rizal terpinga-pinga apabila Aishah meninggalkannya dan terus masuk ke dalam rumah. Kemudian Rizal menyusuli langkah Aishah masuk ke ruang tamu.

"Pakcik, makcik.. saya minta diri dulu...insya-Allah, esok kami datang lagi untuk bicang dengan lebih lanjut, lagi pun rumah saya tak jauh sangat.." kata Rizal sambil bersalaman dengan ayah Aishah dan memandang Aishah yang tersenyum-senyum sejak dari tadi.

"Terima kasih , Aishah.. jaga diri elok-elok.." pesan Rizal sebelum bertolak.

Ermmm.. betul apa yang diguraukan oleh Rafidah sebelum dia balik ke kampung, masin betul mulutnya itu. Alhamdulillah, rindunya selama ini dah terjawab dengan kedatangan Rizal ke rumahnya untuk meminangnya.. Aishah benar-benar bersyukur kepada Allah. Bersangka baiklah dengan Allah, nescaya ianya seperti apa yang kamu sangkakan.

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya.."

(Surah Al-Baqarah : 216 )

Posted at 01:21 pm by amalwildan
Make a comment  




Previous Page Next Page



 

Akhukum Fillah:
= Ahmad Kamaluddin Bin Muhiddin

Tarikh Lahir:
= 18 April 1979
Hospital Daerah Batu Pahat

Menetap:
= Batu Pahat Johor

Background:
= Sekolah Kebangsaan Sungai Tongkang
= Sekolah Menengah Agama(Arab)Bugisiah Tampok
= Maahad Pontian
= Maahad Johor
= Institut Pengajian Tinggi Islam Johor (MARSAH)
= Universiti Al Azhar Mesir cawangan Kaherah

Hobi:

= Membaca
= Mengelamun
= Mengkaji
= Mengajar
= Komputer

Profession:
= Bekerja

Pengalaman:
= Wakil Johor "A" Sepak Takraw sempena PMHK anjuran
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR.
= Wakil Sukan IPT seluruh Malaysia di UIA
= X-President Institut Pengajian Tinggi Islam Johor 2002/03

Moto:
= Berusahalah Selagi Mampu



Ya ALLAH,limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kpd cahaya bagi cahaya dan rahsia bagi segala rahsia.Luhurnya org yg mulia anak kunci bagi pintu kesenangan.Itulah penghulu kami Nabi Muhammmad S.A.W. yg terpilih dan kpd keluarganya yg suci dan para sahabat baginda yg mulia sebanyak nikmat ALLAH dan anugerahNya.




   





 
<< November 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30

Bilangan Tetamu


sahabat yang bertamu

•| Waktu Sekarang|•





Renungan

PERKARA TERBAIK 

"Tulislah perkara 
terbaik yang 
pernah kamu dengari,

Hafazlah perkara 
terbaik 
yang kamu 
tulis. 

Dan sampaikanlah 
perkara terbaik 
yang kamu hafaz" 
_______ 

Yahya AlBarmaki




Apa menarik dalam Berita Harian? ..jom baca ...

Muka Depan

Berita Nasional

Berita Dunia

Berita Sukan

Berita Ekonomi

Berita Agama

Berita Hiburan



Radio Ikim
<a href='http://cybermedia.mmu.edu.my/ext/ikimfm.asx' rel="nofollow">Play Radio IKIM.fm</a>

Radio THR
<a href='mms://203.121.64.200/thr' rel="nofollow">Play Radio IKIM.fm</a>


pesantren
my quran
pikiran rakyat
UM website
PMRAM




╪ LiNK PiLIhaN ╪












sahabat sedang online










 
Contact Me

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




rss feed